HIBURAN MELAMPAU


Definisi Hiburan


Hiburan ialah peristiwa, persembahan atau kegiatan yang direka bentuk untuk memberi nikmat kepada penonton. Konsep hiburan dalam Islam adalah bertujuan untuk mencari kesejahteraan, ketenangan dan kepuasan, terlepas dari perasaan bersalah, ketegangan dan keresahan. Ia dapat dilakukan di waktu lapang secara individu, bersama keluarga atau kawan-kawan bahkan ketika beribadah seperti seni taranum membaca al-Quran, gubahan sajak dan syair yang membesarkan Allah dan sebagainya.

Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan merehatkan tubuh badan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin Al-As , yang bermaksud:

“Wahai Abdullah bin Amar, “Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut.”

Justeru, hukum asal bagi hiburan adalah diharuskan dengan syarat menjaga batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama yang menghukumkan hiburan itu adalah harus, iaitu :-
  1. Dari sudut jenaka atau lawak, pastikan tidak menipu, menghina atau menjatuhkan maruah seseorang serta tidak melampau sehingga terlalu banyak gelak.
  2. Tidak mengandungi unsur perjudian dan sebagainya yang diharamkan dalam konteks kewangan Islam.
  3. Tidak lalai sehingga mengabaikan kewajipan seperti solat fardhu.
  4. Tidak mendatangkan mudharat sama ada mencederakan diri sendiri atau mencederakan pihak lain.
  5. Tidak mendedahkan aurat, berlaku percampuran yang terlarang atau pergaulan bebas serta fitnah dari sudut syahwat yang menjurus ke arah zina.
KESAN-KESAN HIBURAN MELAMPAU

Melahirkan golongan hedonisme.

Hedonisme ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Golongan hedonisme mengambil kira bagaimana tindakannya boleh memberi kesan terhadap keseronokkan dan kegembiraan dalam kehidupan sama ada pada masa kini atau akan datang. Oleh itu, tugas mereka yang utama adalah meningkatkan kadar pengalaman yang menyeronokkan dan mengurangkan kadar ketidakselesaan seperti kesakitan, kesedihan dan kekecewaan. Apabila golongan hedonisme ini wujud maka timbul gejalan yang melupa kan agama, budaya, asal usul, dan etika murni. Hal ini kerana, individu akan asyik berseronok sehingga malas melakukan pekara yang disuruh dan membuat apa yang dilarang. Selain itu, remaja akan hilang matlamat hidup kerana terlalu leka terhadap pekara yang penuh dengan  keseronokan sehingga melupakan matlamat hidup sendiri.

Mencemari  nilai-nilai  murni  kesopanan  dan  kesusilaan.

Masyarakat kini hilang sifat berbudi bahasa terhadap masyarakat lain seperti warga tua kerana mereka mencari kepuasan dengan melakukan apa-apa jua tindakan yang boleh menyeronokkan diri mereka tanpa menghiraukan larangan agama, adat, dan teguran masyarakat sekeliling.  Jika individu terlalu suka akan hiburan maka ia akan menyebabkan nilai murni tercemar. Sebagai contoh hilang bahasa yang sopan dalam komunikasi sesorang dengan sesorang yang lain. Ini boleh dilihat seperti remaja bertutur dengan golongan lebih tua. Tidak lagi mengunakan perkataan yang baik, malah ada juga yang sanggup menghina. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya ingin negara kita dikenali sebagai budaya bahasa yang baik dan sopan.Kesan hiburan melampau ini boleh menyebabkan budaya bahasa kita dipandang rendah oleh masyarat luar. Selain itu, individu juga akan cuba mencari kepuasan dengan melakukan apa-apa jua tindakan yang boleh menghiburkan diri sendiri tanpa menghiraukan larangan agama dan adat. Segelintir individu pada masa kini tidak lagi takut kepada dosa dan balasan dari Allah SWT.

Merugikan wang.

Seseorang individu akan kehabisan wang ringgit jika tidak bijak untuk mengunakannya dengan sebaik mungkin. Mungkin ramai dikalangan kita suka pergi ke pusat hiburan untuk melupakan masalah yang dihadapi dengan mengeluarkan wang yang banyak. Persoalannya, adakah masalah itu dapat diselesaikan? Sememangnya tidak bukan. Lebih baik wang itu digunakan untuk menyelesaikan masalah atau disimpan untuk waktu kecemasan. Selain itu, segelintir individu sanggup mengeluarkan wang  ringgit bahkan harta benda semata-mata untuk berhibur. Individu tersebut seperti tidak tahu had untuk berbelanja dengan bijak dan kebiasaanya berbelanja tanpa had  bukan untuk keperluan harian tetapi hanya  untuk memenuhi nafsu berhibur semata-mata..

Tidak minat untuk belajar.

Kebiasaanya apabila pelajar sekolah telah didedahkan dengan hiburan tanpa diawasi, pasti perubahan drastik akan berlaku. Tambahan pula,  hiburan itu adalah sesuatu perkara yang baru bagi seseorang yang menyebabkan keinginan untuk mencuba. Perubahan drastik yang biasa didengari ialah mengisap rokok, melepak, minum arak dan sebaginya. Hal ini termasuklah tidak berminat untuk belajar dan ini menyebabkan pelajar tersebut boleh gagal dalam pelajaran.Hal ini akan menyebabkan masa hadapan individu tersebut gelap dan boleh meningkatkan kadar pengangguran kerana individu tersebut tidak mempunyai prestasi yang cemerlang dalam akedemik.

Menimbulkan perkara negatif.

Hiburan melampau juga dapat menyumbang pelbagai perkara negatif. Contohnya, pergaulan bebas. Hal ini kebiasaannya berlaku kepada remaja. Sudah ternyata bahawa remaja zaman kini sangat suka akan benda yang baru dan akan mencubanya. Misalnya, remaja lelaki bergaul dengan remaja perempuan ditempat yang gelap dan mendatangkan kecurigaan bagi masyarakat sekeliling yang melihatnya. Selain itu, bergaduh sesama meraka. Hal ini kebiasaanya berlaku kerana ketidakpuasan hati seseorang.

PUNCA-PUNCA HIBURAN MELAMPAU

Terdapat banyak punca yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak remaja.  Antaranya ialah pengaruh rakan sebaya.  Menurut kajian, ketika usia remaja, seseorang itu lebih rapat dengan rakan sebaya berbanding keluarga.  Oleh itu, rakan sebaya amat mudah mempengaruhi seseorang remaja itu sama ada ke jalan yang benar atau ke jalan yang salah.  Para remaja ini akan saling cabar-mencabar dengan rakan sebaya untuk melakukan sesuatu, walaupun mereka tahu perkara itu salah.  Oleh kerana ‘darah muda’ remaja yang pantang dicabar, mereka sanggup melakukan kesalahan tersebut untuk membuktikan kehebatan mereka walaupun mereka tahu perkara itu berbahaya dan sia-sia.

Selain itu, kesibukan ibu bapa juga turut menyumbang kepada berlakunya gejala ini.  Peranan ibu bapa ialah mendidik dan mengasuh anak-anak supaya menjadi orang yang berguna tetapi kesibukan mereka menjadi penghalang untuk mereka menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak.  Oleh itu, anak-anak akan terumbang ambing dalam dunia mereka dan memilih jalan yang salah.  Kesibukan ibu bapa juga menghalang mereka untuk mengambil tahu aktiviti anak-anak dan seterusnya membiarkan anak-anak bebas melakukan apa sahaja tanpa pantauan termasuklah melakukan aktiviti yang menyumbang kepada kesalahan perilaku.  Ibu bapa hanya akan tersedar ketika anak mereka sudah tidak lagi boleh diselamatkan. Bak kata pepatah ‘sudah terhantuk, baru terngadah’.

Antara punca lain ialah pengaruh media massa.  Pada zaman yang serba moden ini, media massa merupakan satu keperluan dalam kehidupan seharian.  Media massa ini banyak memberikan kebaikan tetapi juga boleh mempengaruhi seseorang terutamanya golongan remaja ke arah yang negatif secara diam. Cerita-cerita yang berunsurkan keganasan malah seks banyak ditayangkan di media massa. Cerita-cerita sebegini sedikit sebanyak mempengaruhi dan merangsang remaja untuk meniru aksi-aksi negatif tersebut dan hasilnya, keruntuhan akhlak remaja semakin menjadi-jadi.

Di samping itu, sifat semulajadi remaja yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru.  Walaupun pada awalnya niat mereka hanyalah untuk mencuba tetapi lama-kelamaan, mereka akan ketagih dan terus terjebak ke dalam aktiviti haram. Mereka akan melakukan apa sahaja termasuklah melakukan jenayah dan aktiviti haram yang menyebabkan akhlak mereka bertambah rosak.

Akhir sekali, kurang didikan agama dan nilai-nilai murni dalam diri kalangan remaja pada masa kini.  Hal ini disebabkan ibu bapa terlalu sibuk mengejar kemewahan duniawi dan kedudukan sehinggakan mereka alpa terhadap perihal anak-anak mereka.  Oleh itu, anak-anak mereka tidak mendapat didikan agama yang secukupnya.  Mereja tidak dapat membezakan perkara baik dan buruk terhadap perbuatan yang mereka lakukan.

CARA-CARA MENGATASI
  • ·         Remaja perlu mendekatkan diri dengan didikan agama. Disamping menerapkan nilai-nilai murni dalam diri dengan bergaul bersama orang yang arif tentang agama.
  • ·         Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Selain itu, menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan dalam diri mereka.
  • ·         Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam memberikan perhatian, pendidikan yang serius dan juga mencurahkan kasih sayang yang cukup terhadap anak-anak mereka.Bak kata pepatah melayu, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
  • ·         Mereka juga perlu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak.
  • ·         Berkawan dengan orang yang dapat membantu dalam pelajaran, mendorong kepada kebaikan dan positif.
  • ·         Berjumpa dengan guru atau orang yang dipercayai untuk mendapatkan nasihat dan pandangan yang baik.
  • ·         Peranan media massa dalam menyiarkan kempen atau rancangan yang menghidupkan jiwa dan rohani.
  • ·         Pendekatan akademik. Ini boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas.
  • ·         Penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa seperti polis. Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis.


Kesimpulan

Islam tidak menghalang umatnya daripada berhibur bahkan ia diraikan selagi tidak bercanggah dengan syara’ dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Jelaslah bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani, rohani dan sosialnya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya terhindar dari sebarang penyakit, tetapi juga terhindar dari permasalahan emosi, perasaan, isu-isu rumahtangga, kekeluargaan, tempat kerja dan sebagainya. Malah dalam konteks sosial yang lebih luas, insan yang sihat ialah insan yang dapat memelihara diri dan mampu berada dalam keadaan aman dan damai dalam persekitaran sosial, ekonomi dan politik tanpa perbezaan ras, etnik dan sebagainya.

Kesihatan jasmani, rohani dan sosial merupakan sesuatu yang bersepadu dan tidak dapat dipisahkan. Insan yang sihat tubuh badan, roh dan jiwanya berserta dengan sihat sosialnya merupakan insan yang seimbang, stabil dan produktif. Usaha manusia untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat ialah dengan menguasai ketenangan jiwa, kesihatan fizikal dan menghindari kekusutan fizikal dan mental. Inilah yang ingin dicapai menerusi konsep hiburan dalam Islam.

Jasmani yang sihat akan menjamin kecerdasan otak dan minda, ketenangan dan kematangan jiwa, emosi dan perasaan; dan dengan itu terhindarlah segala konflik dan stress. Kesihatan jasmani dan rohani akan melahirkan sikap mental yang kuat dan kukuh, dinamik, kreatif dan pantang menyerah dalam menghadapi pelbagai masalah kehidupan. Oleh itu, masyarakat akan terselamat dari sebarang aktiviti yang memudaratkan, melahirkan insan yang tidak mudah berputus asa, malah imannya menjadi semakin kuat dan mantap.

Maka dengan itu, sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi hendaklah dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam yang memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik dan sesuai serta selesa dengan budaya tempatan.

Comments

Popular posts from this blog

PENGENALAN KUMPULAN